KUCHING: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan sedang mengesan pesakit Covid-19 yang melarikan diri dari pusat kuarantin Kolej Sains Kesihatan Bersekutu (KSKB), Jalan Puncak Borneo semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintenden Lim Jaw Shyong berkata pihaknya telah mengenal pasti identiti suspek dan masih membuat risikan mengenai kedudukan suspek.
Katanya, suspek dikenali sebagai Roziela Mohamed Jaya, 31 tahun berasal dari Kuching.
Menurut Jaw Shyong, siasatan awal mendapati suspek telah menamatkan hukuman penjara selama tiga bulan atas kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) C Akta Dadah Berbahaya 1952 dan menjalani ujian saringan pada 4 Julai sebelum dibebaskan.
Katanya, hasil saringan terhadap suspek mendapatinya positif Covid-19 dan suspek telah dihantar ke pusat kuarantin oleh pejabat kesihatan.
“Kes dilaporkan pada 10.50 pagi apabila anggota di bilik gerakan menerima panggilan telefon dari pegawai perubatan yang bertugas sebagai penyelia di pusat kuarantin tersebut memaklumkan bahawa suspek telah melarikan diri.
“Suspek didapati tiada di dalam bilik yang sepatutnya dia berada untuk menjalani kuarantin selama 14 hari sehingga 13 Julai,” katanya.