Polis cari pekerja asing bantu siasatan kes bunuh di ladang sawit Bakong

MARUDI: Insiden pergaduhan dua pekerja asing di kebun kelapa sawit Bakong Khamis lalu berakhir tragedi selepas salah seorang daripadanya meninggal dunia, semalam.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Kasya Bambang, 30, berasal dari Indonesia disahkan maut pada jam 1.10 petang ketika menerima rawatan di Hospital Miri.

Ketua Polis Daerah Marudi, Deputi Superintendan Jo Hang berkata kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kes bunuh kini dibuka semula berhubung kejadian terbabit.

Tegasnya, polis kini dalam tindakan aktif untuk mengesan suspek kes bunuh dan gambar suspek utama itu telah pun dikeluarkan sebagai rujukan umum.

Ujarnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta untuk menghubungi balai polis terdekat atau pegawai penyiasat kes Inspektor Shah Effendi Abdul Lam di talian 019-2612189.

Suara Sarawak