SIBU: Polis kini masih mengesan kaki kanan milik seorang lelaki selepas kaki kirinya ditemui pekerja sebuah kedai barang lusuh berhampiran tanah perkuburan Cina di Bukit Lima pada Ahad.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sibu di sini hari ini (Isnin), Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu Supritendan Dr Collin Babat berkata, pihaknya masih tidak pasti di mana kaki kanan itu berada.
Menurut beliau lagi, pihaknya sudah mengenalpasti pemilik kaki terbabit yang digongong anjing selepas ditanam berhampiran kubur tersebut.
“Kita sudah kenal pasti pemilik kaki kiri itu. Dia seorang Iban berusia kira-kira 70 tahun dari Selangau. Tetapi DNA akan dibuat untuk memastikan kaki itu miliknya,” ujar beliau sebentar tadi.
Beliau berkata, lelaki berkenaan baru-baru ini telah dipotong kedua-dua belah kakinya di Hospital Sibu kerana mengalami penyakit diabetes.
Selepas pembedahan, jelasnya, lelaki berkenaan meminta ahli keluarganya untuk membuang kedua-dua kakinya yang telah dipotong itu.
Collin memberitahu, kedua-dua belah kaki yang dipotong itu dari lutut ke bawah.
“Kedua-dua kaki itu mungkin dimasukkan ke dalam kotak dengan nama pesakit. Ahli keluarganya menanam kakinya di tanah perkuburan itu.
“Bagaimanapun anjing liar menggali semula kaki yang ditanam itu dan mengonggong kaki kiri keluar. Ia
ditemui pekerja sebuah kedai barang lusuh berhampiran tanah perkuburan itu,” katanya.
Lelaki itu, tambahnya, masih berada di hospital untuk rawatan susulan selepas pembedahan.
Beliau mengatakan pada mulanya polis menyangka penemuan itu boleh dikaitkan dengan kes bunuh tetapi selepas siasatan mereka mendapati tiada unsur jenayah yang boleh dikaitkan.