Polis cari waris mangsa suspek kena belasah

MIRI: Polis menyeru orang awam membantu mengesan waris suspek yang mati dibelasah sekumpulan individu pada malam Sabtu lalu selepas disyaki mencuri telefon.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, mayat tersebut dikenali sebagai Harry Janting berasal dari Kampung Masjid Bintulu, awal 20-an dan mempunyai tatu di lengan kanan serta tatu berbentuk kepala ikan di bahu kiri.

“Kami sedang berusaha mencari waris si suspek untuk membantu mengesahkan identitinya,” katanya ketika dihubungi tadi.

Terdahulu, sekitar jam 9.35 malam Sabtu lalu, suspek ditemui mati di dalam sebuah kenderaan selepas dibawa ke Balai Polis Pusat Miri oleh sekumpulan individu yang membelasahnya kerana dipercayai mencuri telefon bimbit milik wanita warga Indonesia.

Mayat suspek telah dibawa ke Hospital Miri dan kini masih disimpan di rumah mayat.

Sementara itu, susulan kejadian terbabit, lapan individu termasuk seorang wanita warga Indonesia kini dalam tahanan reman selama tujuh hari sehingga 9 Februari ini untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi Pegawai Penyiasat (IO) ASP Dorairajah Vanaltham di talian 0135603340.

Suara Sarawak