Polis dan Rela perketat kawalan demi keselamatan penduduk Meradong

BINTANGOR: Polis dan Rela Meradong melakukan kawalan rapi bagi memastikan orang ramai mematuhi penjarakan sosial di Bank Simpanan Nasional (BSN) di sini, bermula semalam.

BSN cawangan Bintangor menjadi tumpuan penerima Bantuan Prihatin Nasional dan Sarawakku Sayang khususnya dari daerah ini.

Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superitendan Polis (DSP), Sekam Anoi berkata, kawalan bertujuan menjaga keselamatan orang ramai di samping memastikan penjarakan sosial dipatuhi ketika berlakunya peningkatan bilangan pelanggan di bank tersebut.

“Sehubungan itu, beberapa anggota polis ditempatkan di kawasan berkenaan dengan dibantu oleh pasukan Rela.

Unit Kereta Peronda dan Unit Bermotosikal juga dikerahkan.

“Setakat ini, situasi terkawal dan saya berpuas hati dengan kerjasama orang ramai,” katanya kepada media.

Dalam pada itu, proses agihan baucer kepada penerima diselenggarakan Pejabat Daerah Meradong dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN N46 Meradong.

Menyentuh mengenai jumlah tangkapan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Sekam memberitahu, Polis menahan seramai 24 individu pelbagai peringkat usia sejak 18 Mac hingga 17 April.

Daripada jumlah itu katanya, seramai lapan orang dikenakan kompaun sebanyak RM1000.

“Pada 17 April sahaja, kita menangkap seramai lima individu kerana melakukan kesalahan yang sama.

“Sehubungan itu, saya menyeru orang ramai agar mematuhi PKP untuk memastikan Daerah Meradong terus kekal zon hijau selain memutuskan rantaian wabak Covid 19,” katanya.