Polis giat mengesan lima warganegara Indonesia termasuk dua disahkan positif Covid-19 yang melarikan diri

KUCHING: Polis kini sedang mengesan lima warganegara Indonesia yang melarikan diri setelah membuat ujian saringan Covid-19.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, DSP Sudirman Kram berkata, lima warga Indonesia berkenaan telah menjalani ujian saringan Covid-19 pada 21 Disember lalu.

Katanya, dua daripada lima warganegara Indonesia tersebut disahkan positif Covid-19 pada 23 Disember namun telah melarikan diri pada hari sebelumnya.

“Siasatan awal mendapati, lima warga Indonesia termasuk dua suspek diupah untuk membersihkan kawasan Ladang di Jemukan Ulu, Asajaya.

“Majikan suspek telah dimaklumkan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan bahawa dua daripada lima suspek adalah positif Covid-19 selepas keputusan calitan dikeluarkan pada 23 Disember lalu,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Dedah Sudirman, dua suspek yang disahkan positif dikenali sebagai Harianto Safari, 41 tahun dan Milhan Madi, 23 tahun manakala tiga lagi dikenali sebagai Randi, 30 tahun, Hamsar, 27 tahun dan Rija Riansyah Tan Rabudin, 29 tahun.

Sehubungan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Samarahan memohon kerjasama semua pihak yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan perkara tersebut boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Samarahan di talian 082-662101 atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Syukri Jasni di 011-6564 3820.

Suara Sarawak