Polis kenal pasti jalan ladang

SIBU: Polis mengenal pasti jalan ladang kelapa sawit di kawasan Pasai Siong sebagai lokasi baharu sekatan jalan raya (SJR) di Daerah Sibu.
Ketua Polis Daerah ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia akan membantu polis dalam sekatan kali ini.
“Ladang kelapa sawit berkenaan akan menjadi lokasi ketujuh SJR yang terdapat di daerah ini,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.
Menurutnya, sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bahagian Sibu yang bermula 16 Januari lalu, sebanyak enam lokasi sekatan jalan raya dijalankan di daerah ini.
Sehubungan itu, beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP. Katanya, pematuhan itu sangat penting dalam usaha memutuskan penularan rantaian pandemik Covid-19.
“Orang ramai tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab itu kepada pihak berkuasa sahaja, sebaliknya harus memberikan sokongan dalam usaha memerangi pandemik berbahaya itu,” tambahnya.
Pada Isnin lalu, Stanley mendedahkan beberapa penduduk rumah panjang meloloskan diri dari sekatan pergerakan dengan menggunakan jalan hutan.
“Mereka didapati meredah hutan di ladang kelapa sawit selama tiga jam sebelum sampai ke jalan utama,” ujarnya.

Suara Sarawak