ARTIKEL

Polis kesan Bilal disyaki terlibat curi kabel

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

PEKAN: Polis mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Bilal bagi membantu siasatan kes kecurian kabel di sekitar daerah ini dan Kuantan.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata Bilal yang berusia lingkungan 20-an dipercayai rakan sejenayah kepada tiga lelaki yang ditahan pada Sabtu lepas berkaitan kes sama.

“Pada Sabtu (2 Dis), polis telah menahan tiga nelayan berumur antara 28 hingga 35 tahun di Kampung Pahang Tua, di sini dan siasatan awal mendapati mereka terlibat dengan enam kes curi kabel di daerah ini.

“Justeru, polis sedang mengesan rakan mereka dengan nama panggilan Bilal untuk melengkapkan siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan di sini semalam.

Menurut Mohd Zaidi, tiga nelayan terbabit mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah serta saringan air kencing mendapati mereka positif terhadap dadah.

Kesemua yang beralamat di Kuantan didapati mula bergiat dengan jenayah berkenaan sejak Mei lepas dan mereka akan menjual kabel yang dicuri di sebuah kedai besi di Kuantan.

“Mereka melakukan jenayah ini dengan menarik keluar kabel Telekom dari dalam lurang dan tiang kabel. Ketika tangkapan, polis menemukan tiga pemotong besi dan kabel yang disyaki dicuri serta merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda,” katanya.

Mohd Zaidi berkata kesemua mereka disiasat lanjut mengikut Seksyen 379/511 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Media sebelum ini melaporkan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kes mencuri kabel ditahan selepas dikejar polis sejauh kira-kira 35 kilometer dari tepi jalan simpang masuk ke Perumahan Dara Felda Chini 2 hingga jambatan Sungai Kampung Pahang Tua di sini. – BERNAMA

LAIN-LAIN BERITA

Planetarium Negara sambut 30 Tahun Jubli Mutiara

KUCHING: Sambutan 30 tahun Jubli Mutiara Planetarium Negara sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Bulan Februari 2024 dirasmikan oleh Timbalan Menteri

BERITA TERBARU