Polis lancarkan gerakan cari dua kanak-kanak perempuan yang dipercayai diculik di Matang

KUCHING: Polis sedang mengesan sebuah van berwarna putih yang dipercayai digunakan untuk melarikan dua kanak-kanak, dalam kejadian yang berlaku di Jalan FAC Matang petang tadi.

Mengesahkan kejadian, Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata pihaknya sudah melancarkan Ops Tutup iaitu sekatan jalan raya di seluruh kawasan Padawan bagi mengesan van tersebut.

“Saya sudah mengarahkan pasukan mengesan van terbabit melalui Ops Tutup termasuk rondaan,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Pada masa sama, Aidil berkata hebahan juga sudah dibuat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, Serian, Bau dan Lundu untuk gerakan mencari dan mengesan kedua-dua mangsa serta individu terlibat.

Menurutnya, mangsa yang berusia 10 dan 17 tahun dilaporkan dilarikan dari tepi Jalan FAC Matang oleh dua lelaki.

Bagaimanapun, katanya nombor pendaftaran van berkenaan tidak dapat dikesan.

Suara Sarawak