ARTIKEL

Polis Miri cekup geng aktif pecah rumah, curi kenderaan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

MIRI: Polis berjaya menumpaskan geng aktif melakukan jenayah pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar sini dengan penahanan lima lelaki tempatan, pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner, Alexson Naga Chabu berkata, kejayaan itu hasil serbuan dan pemeriksaan ke atas dua lelaki tempatan di hadapan sebuah stesen minyak, Jalan Simpang Bekenu-Sibuti, pada jam 5.00 pagi, 21 Disember lalu.

Susulan serbuan tersebut katanya, polis berjaya membuat tangkapan ke atas lima lelaki berumur lingkungan 22 hingga 35 tahun serta meramaps sebuah motosikal dan dua buah kereta disyaki curi.

“Dalam tangkapan pertama pihak polis berjaya merampas sebuah kereta jenis Nissan Navara disyaki curi yang disembunyikan di sebuah ladang sawit, kawasan Bukit Peninjau, Bekenu.

“Serbuan diteruskan di sebuah rumah tidak bernombor di Unggeh Batu Satu, Jalan Bekenu dan berjaya menahan seorang lelaki tempatan serta turut merampas sebuah motosikal juga disyaki curi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hasil saringan ujian air kencing turut mendapati empat daripada suspek terbabit positif dadah jenis methamphetamine.

“Modus operandi kumpulan ini adalah bergerak sekitar jam 1 hingga 4 pagi dengan mencari sasaran rumah untuk dipecah masuk, kemudian melarikan kenderaan penghuni rumah terbabit,” ujarnya.

Dengan tertumpasnya kumpulan itu kata beliau, polis berjaya menyelesaikan beberapa kes pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar Daerah Miri yang melibatkan nilai keseluruhan kerugian dianggarkan bernilai RM178,000.

“Kesemua suspek kini direman selama enam hari bermula sehingga 27 Disember ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan didenda atau sebat.

“Manakala bagi kes curi kenderaan disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaaan, boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta denda,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk memberikan maklumat mengenai kegiatan jenayah pecah rumah atau kedai kepada mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Miri di talian 085-433400.

End/1

LAIN-LAIN BERITA

BERITA TERBARU