MIRI: Polis di sini menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes langgar lari seorang pejalan kaki warga emas yang terlibat kemalangan di Jalan Desa Senadin 1, di sini semalam, untuk tampil membantu.
Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu, mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut sekitar jam 7.08 malam.
“Kemalangan tersebut melibatkan sebuah kenderaan yang melanggar seorang pejalan kaki lelaki berumur 60 tahun.
“Hasil siasatan mendapati mangsa ditemui terbaring di tengah jalan di Desa Senadin 1 oleh orang awam yang melalui jalan tersebut, dan disyaki telah dilanggar oleh kenderaan yang yang tidak dikenal pasti.
“Namun, kenderaan tersebut terus berlalu pergi tanpa membantu mangsa yang sedang terbaring di tengah jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, kesan daripada kejadian kemalangan itu, mangsa telah mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Umum Miri.
Susulan itu, beliau berkata, satu kertas siasatan dibuka dan disiasat di bawah seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berdasarkan laporan yang diterima.
“Mareka yang mempunyai maklimat diminta tampil ke Balai Polis Trafik atau menghubungi Pegawai Penyiasat di talian 085-430479 bagi membantu siasatan,” tambahnya.