
BAU: Polis nafi dakwaan kejadian samun penumpang kereta dan ditembak sekumpulan warga asing yang tular sejak semalam di media sosial berlaku di Kampung Bobak, Singai, di sini.
Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon dihubungi mengesahkan kejadian hanya melibatkan kemalangan sebuah kereta yang berlaku pada awal pagi.
“Kemalangan berlaku pada 28 Januari, kereta tersebut dinaiki sepasang suami isteri.
“Akibat kemalangan, pemandu (suami) mengalami kecederaan dan telah dihantar ke hospital swasta untuk menerima rawatan,” jelasnya.
Justeru beliau berkata, dakwaan kononnya berlaku kejadian samun dipercayai disebarkan oleh penduduk kampung.
Mengulas lanjut katanya, tidak diketahui motif sebenar dakwaan tersebut disebarkan.
Terdahulu, sebuah video berdurasi lapan saat tular mendakwa berlakunya kejadian samun dan tembakan dilepaskan oleh sekumpulan warga asing.
Video tersebut memaparkan cermin sebuah Perodua Kancil retak kononnya ditembak.