Polis pantau SOP tempat kerja di Sibu

SIBU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) akan mempergiatkan lagi pemantauan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja di sini.

Penyelarasnya Dr Annuar Rapaee berkata, kumpulan pemantauan ini akan diketuai oleh PDRM serta dianggotai oleh agensi-agensi kerajaan yang berkaitan. Jelas Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu, kumpulan ini akan melakukan pemeriksaan atau pemantauan yang lebih kerap terhadap empat kategori pekerjaan.

“Mereka akan melakukan pemantauan di pusat membelibelah seperti pasar raya, kawasan perindustrian atau kilang, perladangan dan pejabat.

“Sebenarnya kumpulan ini sudah pun ditubuhkan, namun kali ini peranan mereka dipergiatkan lagi. “Ini kerana kebanyakan kluster di Sibu berpunca daripada jangkitan di tempat kerja,” tegas beliau.

Dr Annuar berkata demikian ketika mengemas kini laporan harian kes Covid-19 Bahagian Sibu secara maya di laman sosialnya. Memberikan contoh kluster di tempat kerja, beliau berkata, Kluster Sanyan, Kluster Bulatan Aman dan terbaharu, Kluster Jalan Maju merupakan jangkitan di tempat kerja.

“Kluster Jalan Maju yang diumumkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) sebenarnya membabitkan jangkitan di tempat kerja,” kata Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi itu.

Rentetan itu, beliau menggesa agar kumpulan pemantauan SOP sedia ada memperhebatkan lagi pemeriksaan di tempat kerja selepas ini.

Beliau memberitahu agak sukar untuk Sibu menurunkan kes positif Covid-19 di sini secara mendadak susulan wujudnya kluster baharu iaitu Kluster Jalan Maju.

“Mahu menurunkan kes agak sukar kerana kewujudan kluster baharu. Kalau wujudnya kluster maka kes agak sukar untuk turun. Tamat kluster satu, muncul pula kluster baharu, macam mana mahu turun?” ujar Adun Nangka itu.

Dr Annuar berkata, jangkitan di tempat kerja berlaku apabila pekerjanya sering makan tengah hari atau bersarapan secara berkumpulan.

Perkara ini biasanya berlaku di kawasan kerja terbuka seperti kilang, stor dan sebagainya. Beliau turut melahirkan kebimbangan jangkitan di tempat kerja, berbanding kluster membabitkan kediaman kerana kalau kediaman boleh dilaksanakan penguncian.

“Kalau di tempat kerja, macam mana kita nak buat penguncian, sebab pekerjanya sudah bergerak ke sana ke sini,” ujarnya.

Suara Sarawak