ARTIKEL

Sebahagian daripada 23 paket plastik mengandungi hablur kristal disyaki methamphetamine yang dirampas dalam operasi polis di Jalan Sing Hiong, Bintangor. Foto: IPD Meradong.

Polis rampas 23 paket disyaki syabu di Bintangor

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTANGOR: Polis menahan seorang lelaki berusia 51 tahun selepas menemui 23 paket plastik lutsinar mengandungi hablur kristal disyaki methamphetamine dalam satu serbuan di Jalan Sing Hiong, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superintendan Tansli Mering berkata, bahan terlarang itu dijumpai dalam sebuah beg kecil berzip berwarna merah yang berada di atas meja di dalam rumah terbabit.

Katanya, pemeriksaan dilakukan selepas sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak menjalankan serbuan kira-kira jam 5.20 petang.

“Pemeriksaan lanjut terhadap beg berkenaan membawa kepada penemuan 23 paket plastik lutsinar yang mengandungi bahan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine.

“Keseluruhan bahan yang dirampas mempunyai berat kira-kira 16 gram dengan nilai anggaran RM1,600,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, lelaki terbabit kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Meradong bagi menjalani siasatan lanjut.

“Saringan air kencing terhadap suspek negatif dadah, namun hasil pemeriksaan lanjut lelaki itu mempunyai satu rekod terdahulu berkaitan kesalahan dadah,” katanya.

Beliau berkata, siasatan terhadap kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika disabitkan kesalahan, seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun serta sebatan antara tiga hingga sembilan kali.

BERITA LAIN

Cubaan seludup rokok di Serikin gagal

KUCHING: Cubaan menyeludup rokok ke Indonesia melalui laluan haram di Serikin berjaya digagalkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM194,850, awal pagi

BERITA TERBARU