KUCHING: Demi upah RM5,000 bagi setiap penghantaran, dua lelaki dari Miri dipercayai sanggup menjadi keldai dadah bagi membawa bekalan pil Erimin 5 bernilai RM3.3 juta dari Johor Bahru ke Kuching sebelum kegiatan mereka terbongkar membabitkan rampasan 32.73 kilogram, bulan lalu.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak berkata, berdasarkan pengakuan kedua-dua suspek berusia 25 dan 39 tahun itu, penghantaran yang membawa kepada penahanan mereka dipercayai merupakan misi kedua selepas penghantaran pertama berjaya dilaksanakan.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku melakukan transaksi pertama sebelum ditahan dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada 28 September lalu.
“Kedua-dua suspek dipercayai menerima upah RM5,000 untuk setiap transaksi untuk membawa dadah berkenaan dari Johor Bahru ke Kuching bagi memenuhi permintaan pasaran domestik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.
Menurutnya, polis sudah mengenal pasti individu yang dipercayai mengupah kedua-dua suspek dan kini giat mengesannya bagi membantu siasatan termasuk mengenal pasti kemungkinan wujudnya rangkaian pengedaran dadah yang lebih besar.
Dalam operasi itu katanya, polis merampas sebanyak 32,730 gram pil Erimin 5 yang dianggarkan bernilai RM3.3 juta.
“Jumlah dadah berkenaan berpotensi memudaratkan sehingga 163,650 pengguna berdasarkan anggaran pihak berkuasa. Siasatan turut mendapati sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Ogos lalu,” katanya.


Beliau berkata, semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek berusia 25 tahun mempunyai tiga rekod jenayah termasuk satu kesalahan berkaitan dadah manakala suspek berusia 39 tahun mempunyai dua rekod jenayah.
Kedua-dua suspek katanya didakwa di Mahkamah Majistret Kuching pada 7 Oktober lalu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, hukuman sebatan tidak kurang daripada 12 kali,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Saifullizan berkata, polis meneruskan usaha mengesan individu yang dipercayai mengupah kedua-dua suspek bagi melengkapkan siasatan serta mengenal pasti pihak lain yang mungkin terbabit dalam kegiatan berkenaan.
Justeru katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah diminta menghubungi talian hotline JSJN di 012-2087222.





