Polis rampas bungkusan mengandungi ketulan ganja

KUCHING: Sebuah bungkusan tidak dituntut di sebuah syarikat penghantaran di Jalan Batu Kitang didapati mengandungi ganja telah dirampas polis semalam.
Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan berkata, kakitangan syarikat penghantaran tersebut telah memaklumkan kepada polis mengenai bungkusan tersebut pada 4 Januari lalu.
Kata Aidil, bungkusan tersebut dikirim dari alamat New Focus Auto Sdn Bhd No 11, Jalan SS 25/34 Mayang Industrial Park Taman Mayang (Kampung Tunku) Petaling Jaya, Selangor disyaki kiriman bagi aktiviti pengedaran dadah.
Jelas beliau, bungkusan tersebut seharusnya dikirim ke alamat penerima di CJ702, Jalan Batu Kawa, bandar baharu Batu Kawa.
Susulan itu, tambah Aidil, sepasukan polis telah diarahkan untuk memantau bungkusan tersebut dari hari pertama laporan polis sehingga sehingga semalam.

“Sekitar jam 11.00 pagi pada 19 Januari, sepasukan polis telah pergi ke syarikat penghantaran untuk memeriksa bungkusan tersebut.
“Pemeriksaan mendapati kotak berwarna coklat dibalut dengan plastik lutsinar mengandungi empat ketulan daun kering disyaki ganja seberat 2.10 kg dengan nilai anggaran RM 4,000.
“Barangan kes dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau memberitahu, tiada tangkapan dibuat setakat ini manakala nombor telefon penerima yang disertakan pada bungkusan itu tidak dapat dihubungi kerana tiada dalam perkhidmatan.
Kata Aidil, alamat penerima juga telah dikesan namun alamat yang dinyatakan juga tidak wujud.
“Polis akan berusaha untuk mendapatkan maklumat penghantar dan penerima bungkusan tersebut,” tegasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.