Polis Sabah rampas 70 senjata tiruan untuk sukan Gelsoft

KOTA KINABALU: Keterujaan sekumpulan pemain untuk bertempur dalam sukan ekstrem ‘Gelsoft’ di sebuah pusat rekreasi sukan ekstrem itu di Penampang terbantut apabila polis merampas 70 laras senjata tiruan yang digunakan secara tidak sah dalam permainan itu Ahad lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata dalam serbuan yang dilakukan pada 3 petang itu, polis turut menahan 69 pemain dan seorang penganjur sukan ekstrem itu yang kesemua mereka berumur 21 hingga 36 tahun.

Menurutnya, senjata tiruan yang dirampas digunakan sebagai Gel Blaster terdiri daripada 62 laras raifal, enam laras jenis sub mesingan, dua laras jenis M4 dan 128 unit magazin yang kesemuanya bernilai RM21,000.

“Serbuan dilakukan selepas pusat sukan ekstrem itu yang dikendalikan oleh sebuah persatuan belum sah berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

“Pemilikan senjata tiruan untuk sukan itu hanya boleh dibuat di bawah persatuan yang berdaftar dengan JPPM dan mengikut garis panduan ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, pemilikan komponen Gel Blaster itu dikategorikan sebagai senjata tiruan, dengan pemilik boleh disiasat dan dituduh di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum setahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Zaini berkata kesemua tangkapan dibebaskan pada hari yang sama ketika serbuan dilakukan setelah selesai proses dokumentasi dan kini siasatan sedang dilengkapkan untuk dihantar ke kamar Timbalan Pendakwa Raya untuk penelitian.

Dalam pada itu, beliau menegaskan supaya masyarakat dan pengamal sukan ekstrem Gelsoft sekiranya ada yang masih memiliki komponen Gel Blaster agar diserahkan kepada polis untuk tujuan simpanan selamat.

Katanya, matlamat utama tindakan itu adalah bagi memastikan pematuhan undang-undang sedia ada serta mengelakkan implikasi perundangan terhadap individu itu sendiri.

Zaini berkata sebarang penganjuran aktiviti sukan ekstrem di negeri ini melibatkan Gel Blaster hendaklah dihentikan serta-merta.

Suara Sarawak