KUCHING: Polis Kontinjen Sarawak mengutip sebanyak RM5.64 juta menerusi diskaun bayaran saman atas pelbagai kesalahan trafik.
Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supritendan Alexson Naga Chabu berkata, sebanyak 107,449 saman trafik telah dilunaskan oleh orang ramai menerusi tawaran diskaun 50 peratus’Jom Bayar Saman’ dan diskaun 80 peratus sempena sambutan 100 hari aspirasi Keluarga Malaysia.
“Bagi diskaun 80 peratus yang bermula Khamis hingga semalam, sebanyak 94,705 saman telah dijelaskan oleh orang ramai dengan kutipan sebanyak RM4,311,140,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata tempoh pengurangan saman 80 peratus sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia akan dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.
Katanya, ia kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sambutan yang mengalakkan daripada orang ramai.
Jelasnya, tempoh lanjutan itu juga memberi peluang kepada orang ramai menyelesaikan tunggakan dengan pengurangan nilai saman.