MIRI: Polis Sarawak kini bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN-12) yang mungkin diadakan pada bila-bila masa.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, beliau dalam proses melihat persiapan bagi menghadapi PRN-12.

Setakat ini tambahnya, beliau telah melawat empat lokasi di bahagian utara iaitu Limbang, Lawas, Marudi dan Miri.

“Seterusnya saya akan pergi ke semua daerah bagi melihat perancangan dan juga keperluan yang diperlukan bagi membantu kita menghadapi PRN kali ini,” katanya.

Beliau mendedahkan perkara itu semasa ditanya media selepas memberikan penghormatan terakhir di kediaman mendiang bekas Sub Inspektor Ngalinuh Bala di Kampung Lusut Jalan Bario, Lambir di sini semalam.

Selain itu, beliau memberitahu, pihaknya akan tetap melakukan persiapan walaupun terdapat kekangan dari segi kekurangan dalam logistik dan kekuatan anggota.

“Sekarang ini memang kita terpaksa akur dengan apa yang kita ada dari segi kekuatan dan logistik.

“Tapi kita akan cuba memaksimumkan anggota kita yang sedia ada dan menggunakan serta memperbaiki kenderaan yang kita ada,” ujar Aidil.