KUCHING: Polis Sarawak menerima sebanyak 400 kilogram Peralatan Perlindungan Diri (PPE) sumbangan awam sebagai persiapan pasukan itu menghadapi situasi Covid-19 di Sarawak.
Komander Pasukan Gerakan Udara (PGU) Sarawak ACP Alias Abd Wahab berkata, ia merupakan penerbangan pertama membawa barang-barang logistik menggunakan pesawat King Air Beehcraft 350 dari Kuala Lumpur ke Kuching.
“Bekalan ini diharap mampu digunakan oleh mereka dalam menjalankan tugas dengan lebih dedikasi dan dalam keadaan lebih selamat,” katanya dalam sidang media di PGU Sarawak di sini baru-baru ini.
Dedahnya, barangan PPE merangkumi tiga komponen termasuk penutup mulut dan hidung, sarung tangan dan pensanitasi tangan (hand sanitizer) yang merupakan sumbangan orang awam, syarikat Coway dan Kementerian Kesihatan Awam.
Tambahnya, kesemua barangan tersebut akan diagihkan melalui lapangan terbang berdekatan IPD yang terlibat. “Untuk penghantaran barang ke Kapit, Belaga dan Song, mungkin akan menggunakan bot untuk sampai ke kawasan Sibu berikutan kita akan menyerahkan barang di Lapangan Terbang Sibu,” katanya.
Susulan itu jelasnya, PGU Sarawak mempunyai kekangan ekoran kebanyakan helikopter kini diselenggera dan berharap dapat digunakan dalam masa terdekat.
Sementara itu, Alias turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri serta syarikat Hornbill Skyways atas keprihatinan kerana membenarkan pasukannya menggunakan hangar syarikat berkenaan sejak 2000 hingga sekarang. Pangkalan baharu PGU Sarawak berkemungkinan akan direalisasikan dalam masa terdekat. Turut hadir ialah Ketua Logistik IPK Sarawak DSP Alias Graman.