ARTIKEL

RAMPASAN… Khaw (dua kiri) bersama Mancha (tiga kiri) menunjukkan rampasan dadah pada sidang media di sini. - Foto Mohd Aliff Noni

Polis Sarawak tumpas sindiket dadah di Miri, rampas 21.7 kg dadah bernilai RM716,100

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Polis Sarawak berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Miri dengan menangkap enam warga tempatan dan rampasan dadah jenis methamphetamine bernilai RM716,100.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, CP Datuk Khaw Kok Chin, berkata sindiket itu dipercayai aktif sejak awal tahun ini, dan dadah yang dirampas seberat 21.7 kg itu dapat digunakan seramai 108,500 penagih.

“Pada 17 Mac lepas, pasukan gabungan dari JSJN Sarawak dan JSJN Miri menyerbu sebuah kediaman dan menahan enam suspek dengan empat daripada mereka berada dalam rumah dan dua dalam sebuah kereta di luar kediaman itu.

“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan 20 paket teh ‘Guan Yin Wang’ diisi dengan dadah jenis methamphetamine, yang disimpan di dalam dua silinder gas untuk mengelak pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kejayaan Tangkapan dan Rampasan Dadah di Miri oleh JSJN IPK Sarawak dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Miri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Khaw berkata, suspek yang terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita berusia antara 28 hingga 50 tahun kini direman hingga 21 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Baca lain  Pastikan tiada yang tercicir terima bakul makanan

“Pemeriksaan latar belakang mendapati hanya seorang daripada enam suspek didapati positif dadah dan mempunyai satu rekod kesalahan lampau iaitu sabung ayam.

“Turut dirampas wang tunai berjumlah RM52,000, barang kemas bernilai RM54,941.40, dan empat kenderaan, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan termasuk dadah dalam serbuan itu bernilai RM1.2 juta,” katanya lagi.

Khaw menambah, dadah itu dipercayai dibawa masuk ke negeri ini dari Semenanjung untuk dibungkus sebelum dihantar ke pasaran Indonesia.

Sindiket itu juga, jelasnya, dipercayai mengarahkan salah seorang suspek merekrut orang lain dengan bayaran RM20,000 bagi setiap penghantaran.

“Suspek kemudian akan merekrut suspek lain dengan bayaran RM3 ,000 untuk mengambil dadah dan membawa pulang ke rumah untuk dibungkus sebelum dihantar ke negara jiran.

“Dadah yang siap dibungkus ini kemudiannya dimasukkan ke dalam kereta yang diubah suai bagi menyembunyikannya daripada pemeriksaan pihak berkuasa”, ujarnya.

Turut hadir pada sidang media itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak CP, Datuk Mancha Ata, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Datuk Ibrahim Darus, Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Pencegahan/Polisi) Bukit Aman, SAC Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali, Ketua NCID Sarawak, ACP Mustafa Kamal Gani Abdullah, dan Ketua Polis Miri, ACP Alexson Naga Chabu.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU