ARTIKEL

PDRM

Polis selamatkan empat wanita India, mangsa pemerdagangan manusia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOHOR BAHRU, JOHOR: Polis menyelamatkan empat wanita warga India dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Larkin, di sini petang semalam.

Ketua Polis Johor, CP M. Kumar, berkata dalam serbuan kira-kira 2.15 petang itu, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun dan seorang wanita warga India berusia 36 tahun dipercayai berperanan sebagai pengurus rumah persundalan dan ‘transporter’ atau pengangkut.

“Siasatan awal mendapati kesemua mangsa yang berusia antara 24 hingga 39 tahun datang ke Malaysia dengan ditawarkan kerja dalam bidang teknologi maklumat dan sebagai pembantu rumah.

“Namun setibanya di negara ini, mangsa telah dikurung dan dipaksa menjadi pelacur dengan bayaran RM2,300 sebulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil saringan air kencing menunjukkan lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine.

Menurut Kumar, kedua-duanya direman seminggu hingga Jumaat depan manakala perintah perlindungan sementara bagi kesemua mangsa dibenarkan selama 21 hari bermula hari ini hingga 5 April depan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 55 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU