ARTIKEL

Saifuddin bercakap di sidang media selepas Pelancaran Garis Panduan Penapisan Filem baharu hari ini.

Polis siasat beberapa insiden, sama ada tindakan rambang atau terkoordinasi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat sama ada beberapa insiden melibatkan keselamatan institusi penting negara dan yang membabitkan Ahli Parlimen sejak beberapa hari lepas adalah tindakan rambang atau rancangan terkoordinasi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata PDRM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius isu berkenaan, dan sedang memantau rapi keadaan keselamatan di semua peringkat bagi mengelak sebarang insiden lanjut.

“Adalah penting dalam siasatan polis untuk tentukan (insiden) adalah tindakan rambang atau sebahagian rancangan terkoordinasi, sama ada dilakukan individu atau kumpulan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Garis Panduan Penapisan Filem baharu di sini hari ini.

Pada Jumaat lepas, dua anggota polis, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, terkorban manakala seorang lagi cedera selepas diserang seorang penceroboh di Balai Polis Ulu Tiram di Johor.

Pada hari sama, dua lelaki berumur 29 dan 37 tahun, yang menaiki kereta Perodua Kembara, ditahan di Pintu 3 Istana Negara kerana cuba menceroboh, dengan alasan untuk berjumpa dengan Yang di-Pertuan Agong.

Semalam, polis mengesahkan menerima laporan daripada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, berhubung sepucuk surat amaran dan ugutan yang diterimanya pada hari Sabtu lepas.

Saifuddin berkata beliau telah diarahkan untuk memberikan maklumat perkembangan terkini siasatan PDRM terhadap beberapa insiden yang berlaku ini kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Sementara itu, beliau meminta semua pihak memberikan ruang kepada PDRM menjalankan siasatan dengan profesional dan telus berlandaskan pengalaman dan kepakaran lebih 217 tahun sebagai pasukan keselamatan negara.

“Siasatan polis akan kenal pasti pihak mana terlibat, biar mereka kendali siasatan dengan profesional, dan dedikasi diperlukan.

“(Insiden) itu kita pandang serius dan siasatan kita menjurus kepada menentukan plot, tujuan, motif kumpulan atau individu, atau ini adalah kes dia buat keputusan sendiri atau terancang.

Biar kita pastikan perkara itu,” katanya.

Saifuddin menegaskan, setiap siasatan polis perlu dilakukan tanpa spekulasi dan andaian kerana ia hanya akan menjejaskan hasil siasatan.

Beliau turut menggesa orang ramai untuk tidak membuat spekulasi atau menyebarkan pendapat tidak berasas melalui media sosial mengenai insiden berkenaan.

“Kita pantau pendapat tidak berasas kerana ia berlaku bagi sesetengah media.

“Tindakan menimbulkan kemarahan dan perpecahan hanya akan menghalang, mengganggu proses siasatan, dan boleh boleh membawa kepada kekacauan yang tidak perlu.

“PDRM dan KDN, kita pandang serius elemen penyalahgunaan media sosial dalam perkara-perkara ini dan kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan,” katanya.

Saifuddin berkata PDRM akan memberikan maklumat mengenai perkembangan siasatan berhubung insiden-insiden berkenaan kepada masyarakat dari semasa ke semasa.

“Kalau ada dalam kalangan masyarakat yang menemui aktiviti yang mencurigakan, mereka harus segera buat laporan,” katanya. — BERNAMA

BERITA LAIN

Perdana Menteri China akan lawat Malaysia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri China Li Qiang akan mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia dari Selasa hingga 20 Jun. Ini merupakan lawatan pertamanya ke

BERITA TERBARU

Perdana Menteri China akan lawat Malaysia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri China Li Qiang akan mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia dari Selasa hingga 20 Jun. Ini merupakan lawatan pertamanya ke