
KUCHING: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung tindakan sekumpulan individu memukul seorang suspek yang disyaki mencuri kenderaan.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata siasatan dibuat setelah pihaknya mengesan satu rakaman video yang tular di Facebook kira-kira jam 10 malam semalam, yang menunjukkan seorang lelaki dipukul oleh sekumpulan individu.
Katanya rakaman video berdurasi dua minit 51 saat itu dimuat naik oleh pemilik akaun bernama Boboi Sot.
“Polis akan menjalankan siasatan menyeluruh termasuk kejadian suspek dipukul oleh orang awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara, Ahsmon mengesahkan suspek telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan pada 11 Julai lalu dan direman sehingga 21 Julai (semalam).
Justeru, beliau mengingatkan orang awam agar tidak mengambil tindakan yang melangkaui undang-undang dan tidak membuat spekulasi berkaitan kes berkenaan yang masih dalam siasatan.