ARTIKEL

Polis tahan dalang sindiket kes wang dalam akaun hilang libatkan RM24.2 juta

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki disyaki dalang sindiket yang terbabit dalam kes mengeluarkan wang daripada beberapa akaun simpanan tetap melibatkan kerugian sebanyak RM24.2 juta.

Penahanan lelaki berusia 40-an itu di Sabah pada Jumaat dibuat setelah polis menahan seorang wanita yang merupakan kakitangan sebuah bank di Kota Kinabalu, Sabah, pada 13 Jun lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Mohamed Ramli Yoosuf, berkata lelaki itu dipercayai terlibat secara langsung dalam kes tersebut.

“Setakat ini, kita menahan dua individu dan percaya lebih ramai lagi yang terbabit dalam sindiket pakatan jenayah ini sehingga berlakunya transaksi pengeluaran wang daripada akaun simpanan tetap,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, Ramli berkata siasatan menunjukkan terdapat penglibatan ahli sindiket dari dalam dan luar bank yang bersubahat bagi urusan pengeluaran wang kerana ia hanya boleh dilakukan melalui pakatan dalaman bank.

Beliau berkata pihaknya menerima empat laporan daripada pemilik akaun dan kakitangan bank pada awal Jun lepas di Petaling Jaya, Selangor, apabila mangsa menyedari terdapat pengeluaran wang mencurigakan yang dilakukan secara tunai di Kota Kinabalu membabitkan beberapa akaun simpanan tetap.

Ramli berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pihaknya sedang mengesan serta mengenal pasti beberapa individu lain yang terbabit. – BERNAMA

BERITA LAIN

PERKESO lancar operasi kesan majikan besar-besaran

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melancarkan Operasi Pengesanan Majikan (Ops Kesan) Peringkat Kebangsaan 2024 secara serentak melibatkan 54 pejabat PERKESO di seluruh negara, semalam.

BERITA TERBARU