ARTIKEL

Polis tahan suami isteri bekal senjata kepada suspek warga Israel

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga individu warga tempatan termasuk pasangan suami isteri yang disyaki membekal senjata api dan seorang lelaki menjadi pemandu kepada warga Israel yang diberkas di sebuah hotel di Jalan Ampang, Rabu lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, pasangan suami isteri berusia 40 dan 42 tahun ditahan di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor kira-kira 7.30 malam tadi, manakala lelaki berusia 38 tahun yang bertindak sebagai pemandu kepada warga Israel itu ditahan di Cameron Highlands, Pahang.

“Siasatan awal mendapati pasangan terbabit membekalkan beberapa pucuk senjata api kepada warga Israel itu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, hasil siasatan menemukan sepucuk pistol di dalam kereta jenis Honda Jazz milik pasangan itu.

Razarudin berkata, pasangan terbabit mengaku membeli pistol itu di negara jiran untuk diserahkan kepada lelaki warga Israel tersebut.

“Kesemua mereka kita tahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Semalam, Razarudin dilaporkan berkata, seorang lelaki warga Israel bersama enam pucuk pistol ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang, Rabu lepas.

Beliau berkata, lelaki berusia 36 tahun itu dipercayai memasuki Malaysia pada 12 Mac lepas menggunakan pasport Perancis dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan mendakwa datang ke negara ini untuk membunuh rakan senegaranya susulan masalah keluarga.


Razarudin berkata, suspek kini ditahan reman selama empat hari hingga 31 Mac dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Pasport 1966 serta Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

– Bernama

BERITA LAIN

FAHMI KECAM TINDAKAN UGUT, ANCAM KESELAMATAN WARTAWAN

KUCHING: Kerajaan memandang serius dakwaan ahli politik menyerang dan mengugut wartawan sebuah portal berita berbahasa Tamil baru-baru ini.Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata beliau berpendirian bahawa

BERITA TERBARU