SEREMBAN: Polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menahan seorang lelaki berusia 52 tahun yang disyaki memuat naik hantaran berunsur penghinaan serta menyentuh isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) di aplikasi Threads.
Lelaki itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pada 1 tengah hari hari ini bagi membantu siasatan, selain sebuah telefon bimbit miliknya turut dirampas seperti dilapor Bernama.
Polis menerima laporan berhubung hantaran yang didakwa menyentuh sensitiviti Institusi Diraja Negeri Sembilan semalam. Siasatan awal mendapati hantaran itu dimuat naik pada 17 Julai sebelum pengadu membuat laporan polis keesokan harinya.
Suspek akan dibawa ke mahkamah esok bagi permohonan reman mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Polis menasihati orang ramai supaya menggunakan media sosial secara berhemah dan tidak mengeluarkan atau menyebarkan kenyataan yang menyentuh isu 3R sehingga menjejaskan ketenteraman awam.





