Polis tahan tiga lelaki terlibat kes rompak di Miri

MIRI: Polis berjaya menahan tiga lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam kes rompak sebuah kedai serbaneka di Luak yang dilaporkan berlaku pada 24 Mei tahun ini.

Menurut sumber, kesemua suspek berusia lingkungan 21 hingga 31 tahun itu ditahan di sebuah rumah di sebuah flat Quadruplex, Permyjaya, Bandar Baru Permyjaya pada jam 5.30 petang, semalam.

Susulan penahanan tiga suspek tersebut, pihak polis merampas beberapa barangan termasuk dua helai, topi keledar dan telefon bimbit.

Semasa kejadian rompakan pada jam 1.01 petang itu, suspek yang memakai topi keledar memasuki kedai dan mengacukan pisau ke juruwang wanita yang bertugas.

Ketiga-tiga suspek tersebut sempat mengambil beg wanita itu selain turut membawa lari wang yang dirompak dari tempat kejadian.

Bagaimana pun, insiden rompakan itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Kesemua barangan dirampas dianggarkan bernilai hampir RM1,000 termasuk harta benda dan wang tunai mangsa.

Kesemua suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret di hadapan Pendaftar Mahkamah Rendah Nuur Hafiz Yatim di sini, hari ini.

Mahkamah mengarahkan ketiga-tiga tertuduh ditahan reman selama lima hari sehingga 21 Jun ini untuk membantu siasatan polis dalam kes tersebut.