Polis teruskan siasatan misteri kehilangan Puteri Nurardiana di Bintulu

BINTULU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempergiatkan usaha dan siasatan terhadap misteri kehilangan kanak- kanak perempuan, Puteri Nurardiana Damia Qaisara Abdullah, 6, yang dilaporkan hilang dari kediaman keluarganya di Kampung Baru Laut, sejak 28 September lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, ini termasuk mencari petunjuk baharu bagi membantu siasatan yang memasuki minggu ketiga hari ini.

Setakat ini,katanya, pihak polis masih belum menemui sebarang petunjuk baharu berhubung misteri kehilangan kanak- kanak perempuan itu.

Dave Kumar berkata demikian ketika ditemui media selepas mengunjungi kediaman keluarga kanak- kanak malang itu di Kampung Baru Laut, di sini bersama- sama Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Zulkipli Suhaili.

Menurutnya, kunjungan ke kediaman keluarga mangsa bagi mendapatkan gambaran sebenar insiden serta maklumat berkaitan daripada kedua- dua ibubapa mangsa.

Dalam pada itu, beliau berharap ahli keluarga mangsa bersabar dengan kejadian yang menimpa sambil memberitahu pihak polis akan melakukan yang terbaik khususnya mencari petunjuk baharu bagi membantu siasatan.

Terdahulu, beliau mendengar taklimat berkaitan kronologi kes kehilangan Puteri Nurrardiana di bilik mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu sebelum menemui ibu bapa dan ahli keluarga sekali gus meninjau Sungai Kemena, lokasi mangsa dipercayai telah jatuh semasa insiden pada 28 September lalu.

Dalam insiden jam 3.11 pagi pada 28 September lalu, Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Sarawak telah menerima laporan dari PDRM Bintulu mengenai kehilangan Puteri Nurardiana di kawasan kediaman mereka berdekatan Sungai Kemena.

Sejurus menerima laporan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu telah dikerahkan ke kediaman keluarga kanak-kanak malang itu bagi mendapatkan maklumat serta pengesahan dari kedua-dua ibu bapa dan ahli keluarganya yang lain.

TANYA KHABAR…Datuk Dev Kumar berbual dengan ayah mangsa, Abdullah ketika mengunjungi keluarga Puteri Nurardiana di Kampung Baru Laut di Bintulu dengan ditemani Superintenden Zulkipli.