KUCHING: Menjelang Hari Raya Aidilfitri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus mempertingkatkan rondaan dan kawalan keselamatan dalam mencegah sebarang aktiviti jenayah dari terus berlaku.
Pesuruhjaya Polis Sarawak CP Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, meskipun menyambut bulan Ramadan, ia bukan alasan untuk pihaknya mengurangkan penugasan dalam menjamin keselamatan masyarakat.
Sebaliknya, katanya, penugasan dijalankan seperti biasa sepanjang musim perayaan ini terutamanya di kawasan titik panas untuk tujuan rondaan cegah jenayah dan keselamatan.
“Rondaan diteruskan pada bulan puasa sehingga hari raya ini dan kita juga menunggu kekuatan yang digerakkan pada musim perayaan nanti.
“Beberapa kawasan titik panas di negeri ini juga telah dikenal pasti seperti mana yang telah dilakukan pada Op Selamat Tahun Baharu Cina yang lepas,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Iftar Ramadan bersama warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di Balai Polis Tabuan Jaya, di sini malam tadi.

Sehubungan itu, Mohd Azman menasihatkan orang ramai agar berhati-hati sepanjang musim perayaan terutamanya ketika keluar pada hujung minggu mahupun membeli belah.
“Orang ramai diminta berhati-hati ketika mengeluarkan duit gaji di bank untuk membeli-belah dan membuat persiapan hari raya.
“Saya juga menggesa orang ramai untuk berhati-hati semasa pulang ke kampung dan patuhi segala peraturan dan undang-undang keselamatan jalan raya,” jelasnya.
Terdahulu, Mohd Azman menyantuni warga IPD Kuching dalam Majlis Iftar Ramadan yang diadakan di Masjid Balai Polis Tabuan Jaya.
Majlis turut dihadiri Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah, Pengerusi Perkep Sarawak Datin Nazariah Mohd Nasir, Timbalan Pengerusi Perkep Sarawak, Datin Jennita William, Pengerusi Perkep IPD Kuching Emmy Suin dan pegawai kanan polis dan anggota polis yang lain.
