ARTIKEL

Ketua Polis Johor CP M Kumar. - Foto: IPK Johor

Polis tumpas sindiket menyamar ejen insurans, bunuh mangsa untuk dapatkan pampasan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

JOHOR BAHRU: Polis menumpaskan kumpulan sindiket yang dipercayai menyamar sebagai ejen insurans dan bertindak membuat caruman tanpa pengetahuan mangsa sebelum membunuh mangsa bagi mendapatkan tuntutan pampasan.

Ketua Polis Johor, CP M. Kumar, berkata sindiket itu berjaya ditumpaskan hasil siasatan kejadian bunuh terhadap seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun di Kulai pada 6 Mei lepas.

Beliau berkata lelaki itu pada mulanya dipercayai meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya sebelum siasatan lanjut mendapati dia dibunuh oleh sindiket terbabit untuk mendapatkan tuntutan pampasan.

“Modus operandi sindiket ini ialah dengan mencarum insurans nyawa sebanyak RM500,000 terhadap individu yang dipilih secara rawak tanpa pengetahuan mangsa dan kebiasaannya sasaran adalah orang yang sebatang kara.

“Setelah proses dokumentasi dan polisi insurans mangsa diluluskan oleh syarikat insurans (sebenar), sindiket kemudian membuat perancangan untuk membunuh pencarum dengan kaedah seolah-olah mangsa meninggal dunia akibat kemalangan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Kumar berkata lapan lelaki tempatan berusia 23 hingga 49 tahun ditahan bagi membantu siasatan manakala usaha memburu individu lain, yang dipercayai turut terlibat dalam sindiket itu, sedang digiatkan.

Terdahulu, Kumar berkata kejadian bunuh berkenaan berlaku pada 4.40 pagi ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dihimpit dan dilanggar oleh dua kereta dan sebuah motosikal di Jalan Senai-Seelong, Kulai.

Beliau berkata mangsa, yang terjatuh, dipukul oleh empat individu sebelum dilanggar oleh sebuah lori jenis Isuzu yang kebetulan melalui jalan itu dan mangsa maut di tempat kejadian.

“Setelah mangsa meninggal dunia, suspek membuat permohonan tuntutan insurans melalui ejen yang juga ahli sindiket.

“Walau bagaimanapun, tuntutan insurans itu tidak sempat diproses kerana modus operandi sindiket telah dibongkar oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Johor,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala empat individu yang ditahan telah dituduh di Mahkamah Majistret Kulai pada 19 Jun lepas dan empat lagi diberi bon jaminan. – BERNAMA

BERITA LAIN

Rujuk status tanah sebelum buat rumah

BINTULU: Penduduk khususnya di rumah panjang perlu merujuk status tanah kepada agensi berkaitan terlebih dahulu, sebelum mendirikan perumahan baharu di kawasan yang dikenal pasti. Menteri

BERITA TERBARU