MIRI: Proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri semalam tenang dan lancar dengan kira-kira 504 anggota polis di Miri telah menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Tinjauan Suara Sarawak di IPD Miri semalam mendapati anggota polis menunggu giliran seawal jam 7.30 pagi meskipun pusat pengundian dibuka jam 8 pagi.
Terdapat tiga tempat yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan proses pengundian awal iaitu masing-masing di Ruai Kenyalang IPD Miri, Kem Sri Miri Regimen Askar Melayu Diraja Batalion 20 dan Batalion 12 Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri.

SPR juga telah menetapkan sebanyak tujuh saluran pengundian awal iaitu tiga saluran di IPD Miri, dan masing-masing dua saluran di Kem Sri Miri dan PGA Miri.
Bagi IPD Miri, proses pengundian awal turut dilaksanakan bagi Parlimen Sibuti yang menyaksikan seramai 50 anggota polis dari Bekenu, Lambir dan Lapangan Terbang Miri.
Manakala seramai 696 anggota tentera menunaikan tanggungjawab di Kem Sri Miri menjadikan jumlah keseluruhan pengundi awal bagi Parlimen Sibuti iaitu 746 orang.
Sementara itu, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Lukanisman Awang Sauni antara calon terawal melawat IPD Miri bagi menyaksikan proses pengundian awal.
Disusuli calon Pakatan Harapan (PH) Zulhaidah Suboh yang hadir di pusat itu berselang 10 minit kemudian.
Ketibaaan kedua-dua calon yang bertanding bagi Parlimen Sibuti itu disambut mesra Ketua Polis Daerah Miri, Alexson Naga Chabu.
Calon GPS bagi Parlimen Miri, Jeffry Phang turut hadir di pusat pengundian IPD Miri sebelum bergerak ke dua lagi pusat pengundian awal di Kem Sri dan PGA Miri.
Seramai 607 pegawai dan anggota ditempatkan bagi memantau proses pengundian dan menjaga 341 saluran dan 76 pusat mengundi bagi Parlimen Miri dan Sibuti pada Sabtu ini.
Lukanisman menyarankan agar SPR bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir yang berlaku di pusat mengundi pada Sabtu ini.
“Kita berharap pada 19 November ini keadaan cuaca baik dan tidak merencatkan proses pembuangan undi.
“Kita pada masa sama memohon agar SPR bersedia kerana kemungkinan beberapa kawasan rendah di Sibuti dinaiki air yang akan menyukarkan proses membawa masuk dan keluar peti undi,” katanya.
Beliau juga berharap semua pengundi menunaikan tanggungjawab mereka dengan turun memilih wakil rakyat dengan tepat dan boleh bekerja untuk mereka.