Politik stabil, tenaga mahir jadi tarikan pelabur asing

BINTULU: Kestabilan politik dan kedapatan tenaga mahir antara tarikan kemasukan pelaburan luar negara untuk melabur di negeri ini khususnya Bintulu.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu(BDA) Rodziah Morshidi berkata sejak dibangunkan sehingga kini, Taman Perindustrian Samalaju dan Zon Perindustrian Kidurong telah menarik jumlah nilai pelaburan kira-kira
RM45. 88 bilion.

Jumlah tersebut, bagaimanapun, katanya, tidak termasuk pelaburan terdahulu dalam sektor petrokimia oleh Petronas dan Shell.

Ini, katanya, selaras dengan usaha proaktif kerajaan Sarawak untuk menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini.

Secara tidak langsung dapat menjanakan peluang pekerjaan yang banyak kepada kita di Bintulu ini, ujarnya lagi.

Apabila ekonomi kita berkembang dengan baik maka semua pihak akan mendapat manfaat, katanya semasa berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Bintulu 2020 di ParkCity Mall, di sini.

Tambah Rodziah lagi, bandar Bintulu yang sinonim sebagai bandar perindustrian menyaksikan pelbagai bentuk pembangunan dan pertumbuhan ekonomi telah dan sedang rancak dilaksanakan sejak penubuhan BDA pada tahun 1978.

Berdasarkan unjuran ekonomi Malaysia,katanya, pertumbuhan ekonomi negara tahun ini yang diunjurkan antara 4.3 ke 4.8 peratus masih memberangsangkan sambil menjelaskan Malaysia adalah antara negara yang mempunyai kadar pertumbuhan tinggi berbanding dengan negara-negara lain di Asia.

Kita di Bintulu ini juga memberi sumbangan terhadap pertumbuhan ekonomi ini, pertumbuhan menggalakkan ini adalah bukti kita boleh berganding bahu menjayakan pembangunan Malaysia amnya dan khususnya Negeri Sarawak Ibu pertiwiku ini,ujar Rodziah lagi.

Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Bintulu 2020 merupakan acara tahunan terbesar BDA dengan kerjasama, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khususnya Cina di Bintulu bagi mengeratkan hubungan kerjasama di antara kedua-dua pihak.

Pelbagai aktiviti seperti menggaul Yee Sang, persembahan Tarian Naga dan Singa, kebudayaan dan nyanyian serta penyampaian sumbangan hamper makanan dan angpau kepada golongan kurang berkemampuan turut diadakan bagi mengisi acara sambutan rumah terbuka Tahun Baharu Cina itu.

Pengerusi Gabungan Persatuan-Persatuan Clan Bintulu, Goh Huang Yong, Penasihat Gabungan Persatuan Clan Bintulu, Datuk Pui Kian Onn, Pengurus Operasi ParkCity Mall, Charles Wong hadir sama.

Suara Sarawak