Pengundian untuk memilih Perdana Menteri baharu Thailand sekali lagi ditangguhkan, sekali gus menjadikan kebuntuan politik berlarutan hampir tiga bulan sejak pilihan raya umum berlangsung pada 14 Mei lepas.
Speaker Wan Muhamad Noor Matha berkata, undian yang dijadualkan pada Jumaat hanya boleh diadakan selepas Mahkamah Perlembagaan memutuskan rayuan oleh Parti Move Forward (MFP).
Mahkamah Perlembagaan Thailand berkata, pihaknya memerlukan lebih banyak masa dan butiran untuk menyemak petisyen menentang keputusan Parlimen bulan lepas yang melarang pemimpin parti MFP Pita Limjaroenrat daripada memohon pencalonan semula sebagai Perdana Menteri.
“Kita perlu menunggu keputusan Mahkamah Perlembagaan pada 16 Ogos sebelum memutuskan tarikh pengundian (PM) diteruskan,” katanya.
Mahkamah menetapkan 16 Ogos sebagai tarikh baharu untuk mendengar rayuan yang difailkan oleh Ombudsman negara.