ARTIKEL

‘Port’ hisap dadah diserbu, lima lelaki dan seorang wanita ditangkap

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BAU: Lima lelaki dan seorang wanita ditahan selepas gagal melarikan diri ketika diserbu di sebuah rumah di kawasan Kampung Bunga Rampai, di sini yang dijadikan ‘port’ mereka untuk menghisap dadah.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata kesemua suspek yang berusia 22 hingga 42 tahun ditahan dalam serbuan yang dijalankan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau kira-kira jam 5 petang semalam.

“Semasa serbuan, kesemua suspek sedang leka berada di ruang tamu dan melihat kehadiran polis, mereka cuba melarikan diri melalui pintu belakang namun kepantasan pihak polis telah berjaya memberkas mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata empat daripada suspek adalah penganggur manakala seorang lagi bekerja sendiri dan wanita terbabit bekerja swasta, dengan tiga daripadanya dari Kampung Bunga Rampai, dua masing-masing dari Kampung Lidah Tanah dan Kampung Keranji sementara suspek wanita dari Kuching.

Poge berkata hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua paket plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu seberat 3.88 gram , yang dijumpai di atas lantai ruang tamu rumah berkenaan dan adalah saki baki yang belum digunakan oleh mereka.

Lima lelaki dan seorang wanita yang ditahan hasil serbuan ke atas sebuah rumah di kawasan Kampung Bunga Rampai, yang dijadikan ‘port’ mereka untuk menghisap dadah.

Beliau juga berkata siasatan awal mendapati rumah berkenaan sering digunakan oleh kesemua suspek untuk menjalankan aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Kejayaan tangkapan ini adalah hasil maklumat orang awam. Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bau telah menjalankan risikan pada awal pagi dan mendapati beberapa individu sedang berada di dalam rumah berkenaan sebelum tangkapan dibuat,” katanya.

Poge berkata kesemua suspek telah dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bau untuk ujian saringan awal air kencing dan dikesan positif dadah jenis Methamphetamine.



Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara dalam tangkapan berasingan, Poge berkata pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bau berjaya menahan seorang lelaki berusia 26 tahun, ketika menjalankan Op Tapis di sebuah rumah di Kampung Segong di sini kira-kira jam 7 pagi hari ini kerana memiliki syabu.

Selain itu, katanya pada jam 10 pagi, pasukan serbuan turut menahan dua lelaki berusia 28 dan 23 tahun di Kampung Sagah di sini kerana didapati positif dadah jenis Methamphetamine, dengan suspek berusia 28 tahun juga memiliki syabu yang dijumpai di atas lantai bilik tidurnya.

BERITA LAIN

Kerap pantau harga barang

SIBU: Impak kenaikan harga diesel di Semenanjung kemungkinan akan memberi kesan kepada Sabah dan Sarawak. Kebimbangan ini disuarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit

Buli siber beri kesan serius kepada kehidupan mangsa

BERLIN: Menteri-menteri Dalam Negeri negeri-negeri Persekutuan Jerman sedang meneliti sama ada untuk memperkenalkan kesalahan jenayah berasingan bagi pembulian siber, lapor agensi berita Jerman (dpa). Cadangan

BERITA TERBARU