Posa kini Naib Presiden FAM

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais menyifatkan kejayaannya memenangi salah satu kerusi jawatan Naib Presiden FAM pada Kongres Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Ke-57 2021-2025 semalam sebagai satu amanat yang cukup berat.

Namun, sebagai membalas kepercayaan beliau bersedia untuk melaksanakan tugas serta tanggungjawab dengan sebaik mungkin.

“Saya akan berusaha sedaya upaya bagi memastikan misi dan visi FAM tercapai,” ujar Posa kepada Arena Suara Sarawak semalam. Beliau turut menzahirkan terima kasih kepada barisan exco atas sokongan serta kepercayaan yang mereka berikan.

Beliau akui, kehadirannya dalam kepimpinan badan induk berkenaan (FAM) adalah tepat pada masanya.

“Ia akan memberi kredit kepada FAS dalam mengemukakan pandangan, ke arah meningkatkan pembangunan bola sepak di negeri ini. “Malah ia juga sebagai penghubung pasukan Sarawak United FC dan pasukan Kuching City FC dengan badan induk itu,” ujarnya. Lima calon bertanding bagi mengisi empat kekosongan. Tiga lagi yang turut berjaya ialah Mohd. Firdaus Mohamed, Datuk Seri Rosmadi Ismail dan Mohd. Joehari Mohd. Ayub.

Suara Sarawak