PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais (gambar) menegaskan beliau tidak akan berundur dari kerusi panas badan induk bola sepak Sarawak itu.

“Saya percaya ada pihak yang tidak faham dan salah tafsir kenyataan saya dalam akhbar ini Ahad lalu. “Setelah bertungkus-lumus dan bersusah payah mendapatkan lesen untuk Sarawak United FC… takkanlah saya nak tinggalkan FAS begitu sahaja.

Malah lesen tersebut adalah untuk kegunaan pasukan musim depan,” ujar Posa.

“Tujuan saya mendapatkan lesen tersebut daripada Selangor United adalah untuk bola sepak Sarawak agar dapat bersaing dalam Liga Perdana.

“Oleh itu, desakan yang meminta saya berundur hanya menambahkan lagi semangat saya untuk terus menerajui FAS,” tegas Posa.

Selasa lalu Persatuan Bekas Pemain Sarawak meminta Posa berundur setelah mengeluarkan kenyataan mungkin akan berundur sekiranya gagal menyelesaikan masalah kewangan.

Namun Posa menjelaskan, beliau “pantang undur” hanya kerana salah tafsir sesetengah pihak terhadap kenyataannya.

Suara Sarawak