KUCHING: Poster kempen Parti Tindakan Demokratik (DAP) di Batu Kawah diturunkan oleh
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hari ini.
Menurut calon DAP kerusi Batu Kawah Dr Kelvin Yii, tindakan penguatkuasa SPR menurunkan papan iklan tersebut atas alasan ia mempromosikan perasaan jahat atau permusuhan seperti yang termaktub di bawah Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya.
Ujarnya poster kempen mereka itu menggambarkan keputusan pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) membawa perubahan baharu untuk Sarawak dan Malaysia.
“Pada asasnya, mesej kami ialah – undi rakyat adalah penting. Namun mesej memperkasakan itu tidak diterima dengan baik oleh SPR,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru itu, Kelvin menyeru agar rakyat Sarawak menunaikan tanggungjawab dengan turun mengundi pada 18 Disember ini.
Jelasnya, setiap undi pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) Sarawak adalah penting untuk menjamin tadbir urus dan akauntibiliti negeri ini ke arah yang lebih baik.