Semua sekolah di Sarawak akan dinaik taraf mengikut standard tertentu

Poster pelaburan guna gambar Menteri, polis buka kertas siasatan

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
PDRM

KUCHING: Polis membuka satu kertas siasatan berhubung penggunaan gambar Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dalam satu poster Pelaburan Patuh Syariah yang disebarkan di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, pihaknya menerima satu laporan polis yang dibuat oleh seorang lelaki tempatan kira-kira jam 6.45 petang semalam berhubung penyebaran poster menggunakan gambar Ahli Parlimen Petra Jaya tersebut.

Katanya, penggunaan gambar tersebut digunakan sewenang-wenangnya tanpa kebenaran.

“Iklan Skim Pelaburan Patuh Syariah tersebut dimuat naik dalam laman media sosial Facebook yang dipercayai bertujuan mempromosikan dan menarik minat orang untuk menyertainya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda atau penjara boleh sampai dua tahun atau kedua-duanya.

Tambahnya, kes juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman pemenjaraan tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Sebelum ini, Fadillah dalam kenyataan di Facebook menegaskan tidak pernah terlibat dalam pelaburan seperti diiklankan.

Beliau mendakwa gambarnya digunakan buat kali kedua dalam poster sama tahun lalu oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya tidak terlibat dengan pelaburan berkenaan.

“Saya juga tidak pernah memberi izin kepada mana-mana pihak untuk menggunakan gambar saya,” katanya.

Beliau katanya, telah mengarahkan pegawai khasnya di Pusat Khidmat Parlimen Petra Jaya untuk membuat laporan polis mengenai penyebaran poster berkenaan.

Untuk rekod, poster palsu seumpamanya pernah disebarkan melalui perkongsian di media sosial pada tahun lalu oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, laporan polis juga pernah dibuat pada 3 September 2022 mengenai penyebaran poster berkenaan di media sosial.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

23 Mac 2023

Berita Terbaru