PADAWAN: Sungai Simboh yang terletak di Kampung Simboh, di sini mempunyai potensi untuk menganjurkan aktiviti kayak selain menjadi produk pelancongan baharu untuk kawasan Bidayuh Bisitang.
Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin berkata, beliau mencadangkan perkara tersebut kepada Persatuan Kaum Bisitang Kuching (PKBK) ekoran sungai boleh ditransformasikan untuk aktiviti ekopelancongan.
Menurutnya, Sungai Simboh ketika ini dicemari oleh sektor perkilangan di kawasan sekitar justeru beliau terpanggil untuk memastikan alam sekitar di kawasan sungai itu bersih dan lestari.
“Kita merancang untuk membuat aktiviti kayak di sepanjang Sungai Simboh, bermula di Kampung Simboh melalui Kampung Sikog, Kampung Mambong, Rabak Asah sehingga ke Kampung Bratan.
“Secara tidak langsung sekiranya berjaya, ia menjadi satu produk pelancongan dan kita dapat menjaga kelestarian sungai kita,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri taklimat sempena Karnival Usahawan PKBK di Pusat Khidmat Parlimen Puncak Borneo, Jalan Puncak Borneo, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Pengelola Karnival Usahawan PKBK Fredrick Juray, Penghulu Kawasan Bisitang Dolik Sembong, ahli jawatankuasa PKBK dan ketua-ketua kaum kawasan Bidayuh Bisitang.
Ketika ini, Willie berkata, aktiviti tersebut masih dalam peringkat perancangan dan ia akan diusahakan dalam masa yang terdekat.
Malah tambahnya, sektor perkilangan juga boleh menyumbangkan bantuan berbentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam membantu membersihkan sungai.
“Ini agar sungai kita lebih terpelihara, bukan sahaja untuk kita malah untuk generasi masa akan datang,” ujarnya.