SIBU: Taman Rimba Bukit Lima berpotensi muncul sebagai antara tarikan ekopelancongan bandar utama di Sarawak apabila usaha sedang dijalankan untuk mendapatkan pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai taman tanah gambut terbesar yang terletak dalam kawasan bandar.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rapaee berkata, pengiktirafan itu dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan jumlah pengunjung. sekali gus memberi limpahan manfaat kepada sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.
Menurutnya, cadangan permohonan kepada MBOR itu dimaklumkan kepadanya semasa beliau merasmikan pembukaan Pusat Sehenti di Taman Rimba Bukit Lima, baru-baru ini.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja mampu meningkatkan profil Taman Rimba Bukit Lima, malah menjadikannya destinasi ekopelancongan bandar yang lebih dikenali di peringkat nasional,” katanya kepada media selepas merasmikan Pusat Sehenti Taman Rimba Bukit Lima.
Beliau berkata, taman seluas kira-kira 301 hektar atau 743.7 ekar itu mempunyai keunikan tersendiri kerana mengekalkan ekosistem tanah gambut yang masih terpelihara walaupun terletak di tengah bandar Sibu.
Tambah beliau, kawasan rizab itu kini boleh diakses sepenuhnya dari pintu masuk selatan hingga ke pintu masuk utara dengan jarak kira-kira 2.6 kilometer, sekali gus menawarkan lebih banyak ruang rekreasi kepada orang ramai.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Nangka itu menegaskan, kejayaan menjadikan taman tersebut sebagai destinasi pelancongan bergantung kepada kerjasama semua pihak dalam memastikan kebersihan dan kelestarian kawasan itu terus terpelihara.
“Taman ini milik bersama. Ia bukan hanya tanggungjawab Perbadanan Perhutanan Sarawak, sebaliknya setiap pengunjung perlu memainkan peranan menjaga kebersihan dan keindahannya,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuang sampah atau merokok di kawasan taman kerana sisa makanan boleh menarik kehadiran haiwan liar seperti anjing liar, manakala puntung rokok pula berisiko mencetuskan kebakaran di kawasan tanah gambut.
“Saya berharap semua pengunjung menganggap tempat ini seperti harta sendiri dan bersama-sama memeliharanya,” ujarnya.
Dr. Annuar turut memaklumkan, beliau akan membentangkan kepada Premier Sarawak cadangan bagi memperluas kemudahan di taman berkenaan, termasuk menaik taraf keseluruhan laluan pejalan kaki menggunakan papan konkrit demi ketahanan serta kemudahan yang lebih baik kepada pengunjung.
Beliau berkata, laluan pejalan kaki yang pada asalnya sepanjang kira-kira 600 meter kini dipanjangkan kepada sekitar dua kilometer sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kemudahan rekreasi di Taman Rimba Bukit Lima.
ADUN Bukit Assek, Chieng Jin Ek; Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu, Kaunselor Clarence Ting Ing Horh dan Pengurus Besar Perbadanan Perhutanan Sarawak, Abang Arabi Abang Aimran turut hadir.






