SIMUNJAN: Daerah Simunjan mampu menjadi medan melahirkan pemain berbakat khususnya bola sepak lima sebelah atau lebih dikenali futsal.
Mengambil kira adanya penganjuran Kejohanan Futsal Lelaki Terbuka sempena Pesta Simunjan Edisi III 2023.
Apatah lagi adanya pembabitan ramai pemain mewakili pasukan yang turut serta dalam kejohanan terbabit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.25 Simunjan Awla Dris memberitahu, sambutan hebat penganjuran kejohanan futsal terbabit memperlihatkan ia mampu mencapai objektif diinginkan itu.
“Ramai pemain muda berbakat yang turut serta dalam kejohanan ini.
“Justeru, saya percaya pemain yang turut serta dalam kejohanan ini dapat menempa nama di peringkat lebih tinggi kelak,” ujar Awla selepas menyempurnakan majlis perasmian kejohanan itu di Arena Sri Nancy, Simunjan semalam.
Hadir sama Ahli Parlimen P.200 Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Pegawai Daerah Simunjan Seruji Ludin, Pengerusi Kejohanan Mohamad Zaini Morshidi dan Napsiah Abang Kaderi, isteri kepada Awla Dris.