PPR bantu mereka yang tiada tempat tinggal

KUCHING: Setiausaha Politik Ketua Menteri Tan Kai memuji usaha Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak yang menyediakan skim perumahan di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) untuk memenuhi keperluan penempatan penduduk setinggan dan mereka yang tiada tempat tinggal.

“HDC juga melakukan penyelenggaraan berterusan untukmenjamin keselesaan penyewa di PPR ini,” katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kebajikan sempena Tahun Baharu Cina HDC di PPR Batu Gong, Siburan di sini, baru-baru ini.

Sebanyak lima keluarga kurang berkemampuan menerima sumbangan daripada Perbadanan HDC Sarawak menerusi Kelab Kebajikan, Sukan dan Rekreasi (KKSR) sempena sambutan Tahun Baharu Cina. Penerima sumbangan merupakan penyewa yang tinggal di rumah PPR Batu Gong, Siburan.

Sementara itu Pengerusi KKSR Mimi Sulastrie Jeman berkata, program yang julung kali diadakan itu memberikan sumbangan berbentuk makanan, angpau dan limau.

“Selalunya kami akan memberikan sumbangan setiap kali Hari Raya Puasa. Ini kali pertama untuk Tahun Baharu Cina. “PPR Batu Gong dipilih kerana ramai penyewanya adalah kaum Cina dan mereka daripada golongan yang kurang berkemampuan,” jelasnya.

Penerima dipilih melalui profil Kawasan Rukun Tetangga Perumahan PPR Batu Gong dan dikategorikan sebagai golongan miskin berdasarkan berpendapatan rendah termasuk pengangguran akibat sakit.

Antara lima penerima yang tidak bekerja (suri rumah) adalah Chong Soo Chin, Kupa Jaya @ Lim Lee Fah, Chang Ngee Moi. Manakala, Lai Nam Kong adakah petani dan Chung Say Tung pula tidak memiliki kerja tetap selepas pembedahan jantung.

Suara Sarawak