PPRMS: Adun Batu Kitang sasar 30 rumah dibaik pulih

KUCHING: Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang menyasarkan 30 buah rumah dibaik pulih di bawah Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) menjelang pertengahan tahun 2021.

Khere Chiang berkata, sejak tahun 2017 sehingga kini, sebanyak 70 rumah dalam kawasan Dun Batu Kitang telah dibaik pulih.

“Untuk tahun ini, sebanyak 30 rumah telah dibaik pulih di bawah program tersebut,” katanya semasa melawat PPRMS rumah keluarga Chin Joon Chin, Batu 10 disini.

Anggota Rela Landeh dan JKKK Kota Padawan bergotong-royong setiap hujung minggu menggantikan bumbung rumah Joon Ching yang bocor dengan bumbung yang baharu. Rumah tersebut merupakan rumah peninggalan keluarga Joon Chin dan didiami selama 40 tahun bersama isteri, lima orang anak dan adik perempuannya.

Khere Chiang turut memaklumkan minggu lalu, Rela Landeh dan JKKK Kota Padawan bergotongroyong membaik pulih tandas dan bumbung rumah Tsai Jin Choi di Batu 12. Khere Chiang berkata, ini merupakan rumah ketiga yang dibaik pulih oleh JKKK Kota Padawan dan Rela Landeh dan bahan binaan dibeli daripada peruntukan PPRMS.

“Setiap Adun menerima peruntukkan RM1 juta setahun di bawah PPRMS dan kita boleh laksanakannya melalui dua cara. “Pertama, melalui tender dan kedua boleh guna kaedah gotong-royong.

Setiap rumah yang dibaik pulih diperuntukan tidak lebih daripada RM15,000. “Inisiatif ini adalah daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,” kata Khere Chiang sambil mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri atas inisiatif tersebut.

Beliau turut melahirkan rasa gembira atas usaha JKKK kota Padawan dan Rela Landeh atas bantuan yang diberikan. Justeru Khere Chiang berharap program seperti ini diteruskan bagi membantu golongan miskin dan kurang bernasib baik dalam membaik pulih rumah mereka.

Suara Sarawak