KUCHING: Seramai 2,053 anggota Polis Kontinjen Sarawak telah digerakkan ke 31 kawasan Parlimen negeri ini bagi memastikan proses Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada Sabtu ini berjalan lancar.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, kesemua anggota ini akan ditempatkan di 28 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan diberikan taklimat oleh Ketua Polis Daerah berhubung penugasan.

Dari jumlah tersebut, katanya, seramai 1,272 pegawai rendah polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion ke-11, Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuching, dan Pasukan Polis Marin (PPM).
“Mereka akan ditugaskan sebagai petugas PRU-15 diseluruh daerah di Sarawak akan bertolak di IPK pagi ini.

“Manakala selebihnya akan bertugas di formasi masing-masing. Semua petugas perlu berada seawal tiga hari sebelum hari kejadian.
“Justeru, perancangan dan pengurusan sumber manusia yang baik oleh semua peringkat sudah pastinya akan melancarkan perjalanan penugasan yang bakal dilaksanakan kelak,” katanya pada pelancaran Flag Off Bantuan Sumber Manusia di IPK Sarawak, di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pegawai dan anggota yang terlibat supaya melengkapkan diri sepenuhnya dari segi mental dan fizikal serta pengetahuan undang-undang sebagai bekalan bertugas di lapangan kelak.
Tambahnya, pegawai dan anggota juga diingatkan agar mengekalkan tahap kesihatan semaksimumnya serta mempamerkan tahap disiplin yang tinggi semasa menjalankan tugas.
Sementara Azman dalam sidang media berkata, polis Sarawak memberi jaminan dalam menguatkuasakan undang-undang demi memastikan keselamatan dan ketenteraman rakyat Sarawak terjamin.
Katanya, setakat ini, tiada sebarang laporan yang boleh ditafsirkan sebagai mengancam keselamatan di Sarawak dan keadaan adalah terkawal dan selamat.
“Dalam musim berkempen ini, kita menerima laporan-laporan polis berkaitan kes-kes penurunan banner, pencontengan banner, poster dan bendera,” jelasnya.
Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datu Mancha Ata dan pegawai kanan polis Sarawak yang lain.