PPV Dewan Suarah Matu dilanjutkan operasi sehingga Ogos

MATU: Program imunisasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Suarah Matu dilanjutkan sehingga minggu pertama bulan Ogos nanti.

Adun Jemoreng Datuk Murshid Diraja Dr Juanda Jaya berkata, ia bagi memastikan semua penduduk Matu menerima vaksinasi selain mencapai sasaran mewujudkan imuniti kelompok khasnya di kawasan luar bandar.

“Pelanjutan tempoh dua minggu daripada pelan asal ini adalah bertujuan memastikan semua rakyat yang layak di sini menerima vaksin,” katanya selepas tinjauan ke PPV Dewan Suarah Matu.

Menurutnya, hampir 19,000 dos vaksin telah diberikan sejak PPV berkenaan mula beroperasi pada 4 Jun lalu dan secara keseluruhan pengoperasian berjalan dengan baik.

“Oleh itu, kita menyeru penduduk di Matu yang belum menerima vaksin untuk segera berjumpa ketua masyarakat, hadir ke klinik yang berdekatan atau datang terus datang ke PPV ini,”ujarnya.

Sementara itu, Penyelaras PPV Dr Fatimah Azzahra Mohd Zukki berkata, seramai 11,185 orang di Matu sudah menerima dos pertama, manakala 7,604 sudah lengkap dua dos setakat 20 Julai lalu.

Suara Sarawak