KUALA LUMPUR: Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), MBSB Bank Bhd dan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) berhasrat meneroka kerjasama bagi menggalakkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Malaysia menerusi Memorandum Persefahaman (MoU).
Dalam kenyataan bersama, ia berkata MoU antara PR1MA dengan MBSB Bank bakal menyaksikan agensi perumahan berkenaan mendapat sokongan kewangan supaya pemaju, kontraktor dan pembekal projek di bawahnya dapat memastikan projek disiapkan mengikut jadual.
PR1MA menandatangani MoU dengan MBSB Bank dan SJKP untuk memudahkan akses kepada pembeli yang ingin membeli rumah pertama mereka.
“Melalui MoU ini, ketiga-tiga pihak bekerjasama untuk menyediakan kemudahan pembiayaan yang menarik daripada MBSB Bank dan jaminan kerajaan daripada SJKP bagi pembeli kediaman PR1MA,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Pengerusi PR1MA berkata beliau yakin kerjasama terbaharu itu dapat menyokong aspirasi kerajaan dalam meningkatkan kadar pemilikan rumah di dalam negara.
Kerjasama antara PR1MA, MBSB Bank dengan SJKP adalah seiring dengan pengumuman kerajaan dalam pembentangan Bajet 2023 yang memperuntukkan jaminan tambahan sebanyak RM3 bilion untuk Skim Jaminan Kredit Perumahan yang baharu.
Bermula 1 April 2023, kerajaan meluaskan sasaran SJKP bagi merangkumi kedua-dua golongan berpendapatan tetap dan tidak tetap yang berkelayakan di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan untuk mendapatkan kemudahan pembiayaan perumahan. – Bernama