BINTULU: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak anjuran Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Wilson Ugak Kumbong di kediamannya yang terletak di Pearl Garden Lorong Ceri 4, Jalan Sebiew, di sini, pagi tadi.
Beliau yang tiba kira-kira pukul 11 pagi dengan diiringi ADUN Kemena Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, disambut mesra oleh Wilson Ugak dengan iringan persembahan muzik tradisi masyarakat Orang Ulu dan tarian Ngajat.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan II (Pembangunan Pelabuhan) Datuk Majang Renggi, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi I (Telekomunikasi) Datuk Liwan Lagang, ADUN Jepak Datuk Talib Zulpilip.
Hadir sama, ADUN Murum Kennedy Chukpai Ugon, Ahli Parlimen Lubok Antu Roy Angau Gingkoi, Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu(BDA) Datuk Haidar Khan Asghar Khan dan Residen Bahagian Bintulu, Nyurak Keti.

Pada majlis itu, Abang Johari ditemani Wilson serta kenamaan lain turut melakukan simbolik memotong kek Hari Gawai disusuli acara ringkas penyampaian cenderahati.
Dalam majlis berkenaan, lebih 500 orang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat memeriahkan Rumah Terbuka Ahli Parlimen Hulu Rajang dan keluarganya itu.