Premis barangan bayi rugi RM3,000 disamun

KUCHING: Seorang pekerja wanita tergamam setelah kedai jualan barangan bayi di Jalan Setia Raja itu tiba-tiba disamun seorang lelaki bersenjatakan pisau lipat semalam.

Juruwang kedai berkenaan,22, diugut dengan diacukan pisau ke arahnya sebelum suspek bertindak mengambil peti wang lalu melarikan diri menggunakan motosikal.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 8.20 malam.

Dedahnya, siasatan awal mendapati kedai terbabit mengalami kerugian sebanyak RM3,000 akibat kejadian.

Tambahnya, suspek merupakan lelaki warga tempatan dan pihaknya kini sedang membuat siasatan lanjut untuk menjejaki identiti sebenar suspek.

Setakat ini katanya kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 392/ 397 Kanun Keseksaan.

Suara Sarawak