Premis makanan, kedai runcit dan rumah persendirian dijadikan pusat judi dalam talian

KUCHING: Taktik sindiket perjudian tanpa lesen menggunakan premis awam sebagai pusat kegiatan gagal setelah empat daripadanya berjaya dikesan polis, hari ini.

Malah kesemua bangunan terdiri daripada kedai runcit, gerai makan, dan rumah persendirian yang bertempat di kawasan Kuching itu turut dipotong bekalan elektrik serta-merta.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata, operasi sekitar jam 9 pagi hingga 2 petang itu dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching bersama kakitangan Sarawak Energy Berhad (SESCO).

“Hasil siasatan awal mendapati premis-premis tersebut menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen.

“Selaras dengan Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953, polis terus membuat pemotongan elektrik sekiranya premis itu terbukti menjalankan sebarang aktviti perjudian tanpa lesen,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya ia sebagai amaran keras polis kepada mana-mana pengusaha aktiviti perjudian tanpa lesen memandangkan kegiatan itu boleh diambil tindakan sepertimana di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pencegahan Jenayah 1959.

Awang Din pada masa sama turut mendedahkan sebanyak tujuh serbuan premis perjudian berserta lapan individu terlibat dalam penjualan judi dalam talian berjaya dilakukan oleh IPD Kuching dalam tempoh lapan hari sehingga hari ini.

Ujarnya, siasatan terhadap kes masih dijalankan dibawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan denda RM5,000 hingga RM50,000 dan hukuman penjara hingga 3 tahun jika sabit kesalahan.

POTONG…pasukan operasi terdiri daripada polis dan kakitangan SESCO membuat pemotongan elektrik terhadap sebuah premis yang dijadikan pusat jido dalam talian